MASUKNYA ORANG-ORANG BUGIS MEMBANGUN KAWASAN DI BENUT PONTIAN JOHOR 1849 M
Sejarah Benut, yang mula-mula terletak di suatu tempat yang sekarang dikenal sebagai Kampung Lama, Parit Rambai, telah ditelusuri sebahagian kawasannya sebelum tahun 1760 oleh seorang Melayu Riau yang bernama Dato’ Muin bin Dato’ Sura.
Setelah itu dibuka Kampung Sungai Pinggan yang terletak ke hilir. Pada tahun 1849 sewaktu pendeta asal Perancis Pierre Favre melawat wilayah itu, ia hanya menemukan dua kampung di wilayah itu. Tetapi pada tahun 1870 seorang penghulu telah dilantik untuk kawasan Benut, yang membawa berita tentang datangnya orang-orang dan mulai bertambah banyak di kawasan tersebut. Walaupun tidak dapat diketahui secara pasti kampung mana yang pertama kali dibuka di Benut, tetapi diperkirakan bahawa orang Melayu keturunan Dato’ Muinlah yang mula-mula membuka Kampung Permatang Duku dan Permatang Sepam dekat Kampung Lama Benut. Sesudah tahun 1900 kampung Parit Sayang, Parit Bakau, Parit Karimun, Parit Setan, Parit Hasan dan Parit Abdul Rahman juga telah dibuka oleh pendatang baru, demikian juga Kampung Sanglang dan Ayer Baloi. Pertambahan penduduk menjadi lebih pesat lagi antara tahun 1905 sehingga 1910.
Pada tahun 1905, Penghulu Padu’ dan pengikutnya yaitu orang-orang Bugis dari Sungai Kuali berpindah ke Benut untuk membuka kawasan pertanian baru. Mereka menetap di Parit Abdul Rahman, di seberang Sungai Benut yaitu sebuah kampung yang sudah dibuka oleh pendatang Melayu, di mana mereka mengembangkan tanaman kelapa. Menurut sumber lisan yang diperoleh, mereka membawa benih-benih kelapa dari Sungai Kuali. Usaha Penghulu Padu’ berhasil maju dengan cepat dan beliau berusaha untuk meningkatkan perdagangannya di Benut.
Sehubungan dengan itu ada pendapat yang mengatakan bahwa Penghulu Padu’ dilantik menjadi penghulu setelah berjaya di Benut tetapi terdapat pendapat lain yang mengatakan bahwa beliau dilantik menjadi Penghulu semasa berada di Sungai Kuali. Beliaulah yang banyak berpropanganda dan menyebarkan berita tentang kesuburan tanah di Benut dan tentang keuntungan yang diperolehi dengan menanam kelapa di situ kepada orang-orang Bugis Wajo’ terutama yang berasal dari Pariah, serta orang-orang yang sudah ada di rantau Tanah Melayu, Pontianak atau yang masih berada di tanah Bugis. Antara tahun 1905 dan 1911, semakin ramai orang Bugis yang kebanyakan berasal dari Wajo’ tertarik oleh berita tersebut dan berbondong-bondong datang ke Benut untuk membuka lahan.
Sebahagian dari orang-orang Bugis yang menetap di kampung-kampung yang sudah dibuka oleh orang Melayu, membuka wilayah baru. Di antara kelompok-kelompok orang Bugis yang menetap di kampung-kampung yang sudah ada misalnya, kelompok dari Pariah yang dipimpin oleh Daeng Patikke’ yang pergi menetap di PARIT SAYANG dan kelompok Haji Tomi’ bin Daeng Mapadeng dari La Pa’boli, Pariah (Wajo’) yang pergi menetap di Parit Jabar, Senggarang (Batu Pahat) dan sebagainya. Sebahagian ada juga yang langsung membuka wilayah sendiri dengan bantuan kelompok mereka masing-masing. Antara mereka yang membuka wilayah sendiri adalah Wak Jabir yang berasal dari Pariah, Wajo’. Beliau datang menetap di Benut menjelang tahun 1910 sesudah beliau membuka kebun beberapa lama di Pontianak, Kalimantan.
Wak Jabir termasuk orang Bugis pertama yang tidak menetap di kampung yang sudah dibuka, tetapi membuka wilayah sendiri yang dikenal hingga kini sebagai Kampung Parit Wak Jabir Darat. Kemudian, beliau berpindah ke kawasan hutan bakau dan membuka wilayah baru di situ yang dikenal sebagai Parit Wak Jabir Laut. Beliau meninggal dunia pada tahun 1960 di kampung yang dirintisnya itu.
Selain Wak Jabir, pembuka wilayah dari Bugis lainnya adalah La Makkuaseng yang berasal dari Loa’, Wajo’. Beliau telah datang ke Johor menjelang tahun 1912. Beliaulah yang pertama kali melakukan penggalian parit yang dikenal dengan nama Parit Makkuasang yang terletak di mukim Benut. Usahanya kemudian dilanjutkan oleh kelompok lain yang datang tidak lama kemudian dari La Pa’boli, Pariah (Wajo’) di bawah pimpinan Pare’ bin Daeng Mapadeng (saudara Hj. Tomi’ menetap di Parit Jabar). Pada awal tahun 1920 an La Makuasang telah berpindah ke Kuala Tungkal, Riau dan beliau meninggal dunia di sana.
Daeng Matebba’ yang lahir di Sakke’, Loa’, Belawa (Wajo’) sekitar tahun 1842, telah berpindah ke Pontianak bersama anak-anaknya Daeng Mabbela dan Daeng Mallibok sekitar tahun 1895. Kira-kira pada tahun 1909, dari Pontianak, beliau belayar ke Sarawak. Kemudian beliau meneruskan perjalanannya ke daerah lain melalui jalan laut di kawasan barat daya Johor, seperti Sungai Melayu, Kukup dan Peradin. Akhirnya beliau berhasil menyusuri Kuala Tampok yang lebih dikenal sebagai Kuala Benut. Di sepanjang perjalanan menyusuri Kuala Tampok itu beliau dapat melihat banyak pokok-pokok nibong tumbuh merimbun dengan keadaan yang bertumpuk-tumpuk. Di tempat inilah bermulanya pembukaan lahan oleh Daeng Matteba’ dengan pengikut-pengikutnya sehingga akhirnya menjadi sebuah pemukiman. Selain anak-anaknya juga datang bersama Daeng Matteba’ adalah anak-anak kapalnya (pekerjanya) yang jumlahnya lebih kurang 50 orang. Mereka menjadikan tanaman kelapa sebagai tanaman utama.
Selain itu, mereka juga menanam padi di kawasan yang berair. Lantaran Daeng Matebba’ sudah tua maka yang dianggap sebagai pembuka kampung adalah anaknya Daeng Mabbela, tetapi Daeng Mabbela enggan menggunakan namanya sebagai nama kampung yang dibukanya. Daeng Matebba’ meninggal dunia di Tampok pada tahun 1932.
Setelah itu datang pula Haji Abdul Karim bin Daeng Macenning (Songkeng bin Ambo’ Tuwo’) bersama anaknya Daeng Matase’ bin Hj Abdul Karim. Mereka membuka Kampung Tampok Lapis di Benut dan mengusahakan kebun kelapa. Sementara menunggu hasil kelapa, mereka menanam labu, pisang, jagung, ubi dan lain-lain. Kesuburan tanah ditempat itu memberikan hasil kebun yang begitu banyak.
Selain itu datang pula Daeng Masiga, Daeng Pallawa dan Petta Arung Ciung yang membuka wilayah di mukim Benut sekarang. Manakala Wak Betak telah datang lebih awal yaitu sekitar tahun 1910 dan membuka wilayah yang dinamakan dengan namanya yaitu Parit Betak. Kemudian pembangunan kampung ini dilanjutkan oleh Wak Kurikang.
Selain orang Wajo’ ada juga beberapa pendatang dari Bone, antara lain kelompok yang dipimpin oleh Daeng Pasidda’. Mereka membuka Kampung Parit Bugis yang terletak di Senggarang. Dari situ kemudian orang Bone pergi menetap ke Parit Balak. Kecuali kelompok kecil orang Bone terdapat juga orang Bugis yang berasal dari daerah lain. Misalnya Wak Khatib Mahmud yang membuka Parit Wak Khatib dekat Ayer Baloi berasal dari Sidenreng. Sementara orang Batu-Batu, Soppeng, membuka kampung di Simpang Kiri Sungai Karang; orang Makassar di Parit Ramunia dan orang Selayar di Parit Selangor, kedua-duanya terletak di Mukim Sungai Pinggan.
Sementara itu pula Wak Jala dan Wak Kahatib Mahmud bin Makka membuka wilayah di mukim Ayer Baloi sekarang manakala Wak Kawi datang membuka pemukiman di wilayah Rengit. Mereka datang dalam masa yang hampir bersamaan.
Menjelang tahun 1918 terdapat pula sekelompok Bugis dari Pariah, Wajo’ di bawah pimpinan Hj. Talib bin Hj Palewa telah membuka petempatan di Parit Bugis, Sungai Punggur, Rengit. Kemudian mereka mengajak sanak saudaranya datang secara berkelompok pada tahun 1921 dan menempati sebuah kampung yang sudah dibuka sebelumnya oleh orang Melayu di Sungai Dulang.
Dalam tahun 1928 dikatakan telah datang pula sekumpulan Bugis dari Sarammae, Pariah, Wajo’ di bawah pimpinan Daeng Pagala bin Daeng Palango. Mereka membuka Kampung Bagan Laut, Rengit. Mula-mula Daeng Pagala telah menjejaki kemungkinan untuk menetap di Pontianak tetapi ketika sampai di Pontianak beliau mendengar khabar bahawa wilayah Benut lebih sesuai lagi untuk mencari keuntungan. Daeng Pagala pun datang ke Benut untuk meninjau terlebih dahulu dan sesudah meyakini kesuburan tanah Benut, maka beliau pulang ke kampungnya untuk mengumpulkan saudaranya lalu kembali datang ke Benut bersama-sama mereka.
Orang-orang Bugis yang datang pada awal tahun 1920 an, sebahagian masih datang ke wilayah Kukup, khasnya di kawasan tanah gambut di sepanjang Sungai Pulai. Tetapi kemudian ramai di antara mereka berpindah ke Pulau Karimun dan ke Tanjung Batu (Pulau Kundur) untuk membuka kebun di sana, di samping itu ada juga yang berpindah ke wilayah Benut.
Jadi, kebanyakan pendatang baru dari Sulawesi menetap di sepanjang pantai di utara Pontian, mulai dari Ayer Baloi sehingga ke Senggarang. Ada juga yang menetap di kampung-kampung yang sudah dibuka (sama ada dibuka oleh orang Melayu Riau atau orang Bugis) di sekitar Pekan Benut dan Ayer Baloi. Ada lagi yang pergi membuka kampung baru di kawasan Rengit dan Senggarang. Di antara kelompok-kelompok yang datang ke situ sekitar tahun 1920 an adalah kelompok dari Pattiro, Bone, yang datang membuka kebun di Parit Arcung, di mana kawasan tersebut telah dibuka sebelumnya oleh orang Wajo’ iaitu oleh Petta Arung Ciung. Petta Arung Ciung telah banyak membuka tanah dan sudah berjaya di sekitar Benut. Beliau kemudian menyewakan tanah-tanahnya kepada perantau Bugis dari kelompok orang Bone yang berpindah dari Peradin dan Sungai Karang. Kelompok orang Bugis ini kemudiannya bergabung bersama-sama orang-orang Bugis yang telah terlebih dahulu mendiami petempatan di Parit Arcung. Kemudian, sekelompok kecil orang Bone berpindah lagi dari Parit Arcung (Parit Arung Ciung) untuk meneroka kawasan kebun di Sungai Tongkang, Rengit. Sehingga tahun 1930 tidak semua kawasan pantai antara Rengit dan selepas Senggarang dibuka. Justeru, terdapat juga segelintir pembuka lahan yang datang dari kampung-kampung yang lebih awal dibuka telah datang ke kawasan sekitar Benut, Pontian untuk mencari tanah yang masih kosong. Mereka kemudiannya telah berpindah secara tetap ke kawasan tersebut.
Sehubungan dengan itu antara tahun 1920 an sehingga tahun 1930 an dikatakan sebagai zaman kemakmura. Kemakmuran itu dapat dilihat melalui perkembangan pesat kawasan tersebut dengan segala kemudahan di samping pesatnya pembangunan di segala penjuru. Perkembangan yang paling nampak adalah pembangunan masjid batu di Benut yang dibangun pada tahun 1932. Mengubah masjid kayu yang lama melambangkan kejayaan sekelompok orang-orang Bugis yang berjaya. Antara yang menjadi pelopor utamanya ialah Hj. Ambo’ Wella (dipanggil juga Ambo’ Wellang dan oleh orang Melayu dikenal sebagai Ambo’ Olah) seorang guru besar pondok yang telah mewakafkan tanahnya untuk dijadikan tapak masjid. Selain beliau antara yang terlibat dalam pengasasan masjid (Masjid Temenggong Daeng Ibrahim) tersebut ialah pembantu utama Hj. Ambo’ Wella’ iaitu Hj Daeng Passare’ dan anaknya (kemudian turut menjadi muridnya) iaitu Hj. Makke bin Hj Ambo’ Wella. Nama-nama lain adalah seperti Hj Abdul Kadir, Hj Ambo’ Sengngeng atau Ma Sengngeng dan Hadade’ dari Parit Abdul Rahman. Hj Abdul Karim Daeng Macenning dari Parit Hasan dan Hj Daeng Mabbela dari Tampok, dan lain-lain.
Kejayaan orang Bugis yang dapat dilihat pada masa itu antaranya ialah pembangunan rumah yang terbuat dari batu oleh beberapa orang Bugis yang kaya. Rumah batu yang pertama didirikan di Parit Abdul Rahman adalah rumah Daeng Hadade’ yang dibina pada tahun 1925. Kedua; adalah rumah batu yang didirikan oleh Hj Abdul Kadir di Parit Abdul Rahman dan juga manakala rumah yang ketiga dibangun oleh Daeng Patampo yang terletak di Kampung Sungai Besar. Antara tahun 1926-1928, jalan perhubungan dari Pontian ke Batu Pahat telah juga dibangun.
Di kawasan Simpang Empat, Benut, lokasi masjid baru tersebut adalah merupakan suatu kawasan yang ramai didiami oleh orang Bugis, antara lain iaitu Hj. Ambo’ Sengngeng yang kemudian juga mendirikan rumah-rumah kedai yang dibangun dari batu.
Berdasarkan pembagian penduduk, mereka tersebar di beberapa buah daerah di negeri Johor. Antaranya adalah di Kampung Jeram Batu, Batu 26, Sungai Burong Estate, Sungai Burong, Sungai Moleh dan Sungai Tempayan dalam daerah Jeram Batu. Di daerah Sungai Karang terdapat Kampung Sungai Karang, Bulu Kasap, Sungai Punai, Simpang Kiri, Belakok, Peradin, Senai, Sungai Boh, Simpang Kiri, Permas Ulu dan Permas Sungai Karang. Selain itu, Kampung Sungai Cengkeh, Sungai Dinar, Sungai Sam, Chokoh dan Sungai Kuali termasuk dalam daerah Serkat. Manakala Kampung Batu 6 Penerok, Kampung Bugis dan Parit Kongsi terangkum dalam wilayah Ayer Masin. Kampung Parit Baran, Parit Wak Jabir, Parit Wak Jala, Sanglang Laut, Parit Puteri Menangis, Parit Puteri Menangis Laut, Parit Panggong, Parit Daeng Parandang, Parit Jeletung, Parit Keroma, Parit Haji Mahmud dan Parit Haji Manap terletak dalam wilayah Ayer Baloi. Seterusnya, Kampung Nelayan, PARIT SAYANG, Parit Lapis Sayang, Parit Bachok dan Parit Ramunia pula dalam wilayah Sungai Pinggan. Selanjutnya, Kampung Parit Makkuaseng, Parit Daeng Masiga, Kampung Baru, Parit Daeng Palawa, Parit Lapis Makkuaseng, Parit Wak Jabir Laut, Parit Betak Laut, Parit Tampok Laut, Pekan Tampok, Parit Lapis Tampok, Parit Abdul Rahman, Sungai Besar Darat, Sungai Besar Laut, Parit Satu, Parit Mohd Arif, Parit Hasan, Parit Setan (Parit Rahmat), Parit Karimun dan Parit Arcung terletak dalam wilayah Benut.
Kredit:
RAHILAH OMAR, KHAZIN MOHD. TAMRIN, NORDIN HUSSIN, NELMAWARNI
RAHILAH OMAR, KHAZIN MOHD. TAMRIN, NORDIN HUSSIN, NELMAWARNI
Foto : Daeng Bahtiar
(di adopsi dari FB Ruslan)
1 Comments
assalamualaikum, saya harap tuan boleh bantu sye, sye sedang buntu mencari sejarah awal pembukaan kg sg karang,mukim sg karang.harap dapat dibantu dri segi rujukan lepas ii
ReplyDelete